Headlines News :
Home » , » Rahsia francais berjaya

Rahsia francais berjaya

Written By Admin on Sunday, 24 June 2012 | 22:58


SEKTOR francais tempatan adalah antara segmen perniagaan yang semakin mendapat perhatian ketika ini apabila ia menyumbang 2.5 peratus atau RM21.48 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu. Sumbangan itu, jelas menunjukkan sektor francais tempatan sebenarnya membantu negara dalam meningkatkan ekonomi negara serta menggalakkan lebih ramai usahawan tempatan membina empayar perniagaan menerusi francais.

Kerajaan turut melihat sektor ini secara serius apabila mewujudkan program mikro francaisi yang mana menggalakkan orang ramai menceburi perniagaan francais secara kecil dan ia sebenarnya adalah usaha yang positif untuk melahirkan lebih ramai usahawan tempatan pada masa depan.

Melihat kepada kedua situasi ini, sebagai pihak bertanggungjawab memainkan peranan dalam sektor francais tempatan, Persatuan Francais Malaysia (MFA) mengadakan Persidangan Francais Antarabangsa kali ke-12, Franchise International Malaysia 2012 (FIM 2012) bagi menggalakkan perkembangan sektor francais tempatan. Ikuti temubual wartawan Bisnes Metro, Hafiz Ithnin bersama Pengerusi MFA, Abdul Malik Abdullah (gambar) mengenai persidangan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 6 Julai ini.

APAKAH tujuan FIM 2012 diadakan setiap tahun?

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengadakan FIM setiap tahun bagi merangsang lebih ramai penyertaan peserta francais tempatan, bakal francais, francaisi, agensi kewangan dan mereka yang berkaitan dengan sektor ini untuk mengadakan perbincangan mengenai industri secara terbuka serta mempamerkan produk yang boleh diketengahkan dalam pasaran.

Selain itu, ia juga disertai oleh pemain industri dalam dan luar negara yang mana untuk FIM 2012 dijangkakan 15 negara asing akan turut serta seperti Singapura, Indonesia, Jepun, Vietnam, Australia dan Amerika Syarikat.

Kita melihat penyertaan pemain sektor francais tempatan dan luar negara dalam FIM 2012 memberi manfaat kepada dua belah pihak untuk bertukar pandangan dalam meluaskan ilmu perniagaan sekali gus memperhebatkan jaringan perniagaan antara dua belah negara.

Bagaimana FIM 2012 boleh membantu orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang francais?

FIM 2012 adalah himpunan daripada pelbagai pemain sektor francais dari pelbagai segmen perniagaan dan ini sebenarnya memberi ruang kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai sektor ini melihat produk yang berpotensi untuk mereka ceburi.

Paling penting ialah dengan pengenalan Program Mikro Francaisi yang diperkenalkan tahun lalu, menerusi FIM 2012 kita turut mempromosikan program ini kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai sektor francais yang mana terdapat 40 jenama francais yang boleh mereka sertai dengan modal permulaan di bawah RM50,000.

Selain itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai Program Mikro Francaisi juga boleh terus mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kewangan dan juga pihak peminjam iaitu Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk mendapatkan pinjaman yang ditawarkan di bawah program berkenaan.

Adakah terdapat padanan perniagaan antara peserta?

Setakat ini, kita sudah mendapat permintaan dari peserta luar negara seperti Taiwan untuk mengadakan padanan perniagaan dengan francais tempatan mahupun luar negara untuk meluaskan jaringan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

Menerusi padanan perniagaan ini, kita juga boleh mempromosikan syarikat francais tempatan untuk mengadakan usaha sama dengan syarikat dari luar negara.

Sebagai penganjur kita cuba untuk mengadakan aktiviti yang boleh menggalakkan jaringan perniagaan francais sama ada di kalangan peserta luar negara mahu pun tempatan. Oleh itu, FIM 2012 sememangnya memberi manfaat kepada semua peserta yang menyertainya untuk meluaskan jaringan perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

Apakah aktiviti lain yang diadakan?

Kemuncak acara semasa berlangsungnya FIM 2012 ialah Persidangan Antarabangsa FIM 2012 yang diadakan pada 7 Julai dan ia disertai oleh pakar perniagaan francais tempatan dan luar negara.

Orang ramai perlu merebut peluang untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada pakar ini seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Gloria Jean’s Coffees (Australia), Rod Wakefield. Mereka akan berkongsi pengalaman menerusi tajuk yang dibawa pada persidangan berkenaan.

Menerusi persidangan ini, orang ramai bukan saja dapat maklumat perniagaan francais malah mereka boleh bertanya secara terus kepada mereka bagaimana untuk mewujudkan sebuah francais yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa. Bayaran di kenakan bagi yang berminat menyertai persidangan ini iaitu RM299 bagi ahli MFA, RM399 bukan ahli MFA dan RM199 untuk pelajar.

Apakah sasaran transaksi semasa berlangsungnya FIM 2012?

Untuk memastikan kelancaran program FIM 2012, pelbagai promosi dalam dan luar negara diadakan untuk menarik lebih ramai penyertaan peserta dan kita menyasarkan RM370 juta transaksi francais dan 12,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari ia berlangsung.

Nilai transaksi ini membabitkan kejayaan pertanyaan perniagaan antara francaisi dan francaisor yang mana menerusi pertanyaan ini kita boleh mentafsirkan berapa nilai yang dapat dihasilkan menerusi satu kejayaan pertanyaan perniagaan antara dua pihak berkenaan.

Tahun lalu, FIM 2011 mencatatkan RM352 juta nilai transaksi kejayaan pertanyaan di antara dua pihak dan sejumlah 10,700 pengunjung di catatkan semasa ia berlangsung dalam tempoh yang sama. - Sumber
Share this article :

info

JKKK Kampug Paka Dua Telah Menggunakan Sistem Sms Untuk Memberi Maklumat Terkini Secara Terus Ke Telefon Anda.

Join Us

 
Pakadua.Net | Privacy Policy | About
Copyright © 2012. .::Portal Rasmi Paka Dua - All Rights Reserved
Design by Creating Website