Berbudi kepada tanah, pasti mendapat hasilnya dan ia
dibuktikan Ammar Abd Aziz, 40, yang kini bergelar siswazah tani apabila
mengusahakan projek penanaman cili padi di ladang berkeluasan 21 hektar.
Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Ijazah
Sarjana Pelaburan, dia tidak kekok menjadi petani moden.
Tanpa sebarang pengalaman, Ammar memberanikan diri
mengusahakan projek tanaman cili padi secara ladang di Kampung Batu 3, Membau,
Seremban dan Kampung Chembong Kechil, Rembau, Negeri Sembilan.
Dengan bantuan tenaga kerja asing, dia boleh berbangga
mengeluarkan cili padi segar untuk pasaran di Melaka, Negeri Sembilan dan
Johor.
Dengan pendapatan lumayan itu, dia mampu memperuntukan
RM15,000 sebulan bagi membayar gaji pekerja.
Ammar yang juga usahawan bimbingan Institut Penyelidikan
dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini melanjutkan pengajian peringkat
Doktor Falsafah ( PhD).
Justeru, dia meminta bantuan dua sahabatnya memantau projek
perladangan cili segar itu menggunakan teknologi telekomunikasi jarak jauh.
“Walaupun mengambil PhD di University of Queensland
Australia dalam bidang Perubahan Cuaca dan Kajian Pokok Bakau, saya masih mampu
memantau tanaman cilinya dari jarak jauh,” katanya.
Dia tidak menggunakan kedah penanaman cili padi segar secara
fertigasi atau sistem sembur ‘sprinkler’, sebaliknya kaedah ‘drip tape’ iaitu
pengairan titis.
“Sistem pengairan renjis atau ‘sprinkler’ tidak praktikal
kerana semburan tidak tepat kepada tanaman.
“Penggunaan sistem pengairan titis dipraktikkan di ladang
lebih menjimatkan malah terus meresap ke akar,” katanya.
Usahanya itu berbaloi kerana dia kini siswazah tani
Bumiputera terbesar menghasilkan tanaman cili padi.
“Penanaman cili padi ini agak memenatkan kerana kaedah
mengutip hasil dilakukan secara manual.
“Bagi penghasilan sekilogram cili padi, pekerja perlu
memetik 600 biji.
“Justeru, saya perlu bijak menyusun pekerja bagi memastikan
seorang pekerja mampu mengutip 30 hingga 40 kilogram cili padi sehari,”
katanya.
Dia berterima kasih kepada Jabatan Pertanian dan MARDI yang
banyak membantu dalam usahanya menanam cili padi.
Kini, Ammar menggunakan varieti cili padi Taiwan yang
disemai di tapak semaian di ladang miliknya itu.
“Cili padi ini boleh hidup sehingga lapan bulan dan hasilnya
lebih lumayan.
“Pokok ini akan disemai dalam rumah khas selama 32 hari dan
selepas tiga bulan,
ia mengeluarkan hasil,” katanya.-Sumber-