Headlines News :
Home » , , , » Ibu kota kena serbu

Ibu kota kena serbu

Written By Admin on Monday, 6 August 2012 | 22:55


KUALA LUMPUR: Bersempena cuti umum dan sambutan Nuzul al-Quran semalam, kebanyakan warga kerja di Selangor mengambil kesempatan membeli-belah di sekitar ibu kota sebagai persediaan awal menyambut Aidilfitri.

Apa tidaknya, tinjauan di sekitar kawasan pusat bandar raya terutama membabitkan bazar dan kompleks beli-belah didapati sesak sejurus dibanjiri ribuan pengunjung yang tidak henti-henti memasuki kawasan berkenaan.

Seawal jam 10 pagi sebaik pusat perniagaan dibuka, orang ramai yang sebelum ini sibuk dengan tugas harian memanfaatkan cuti itu untuk membeli-belah dan mendapatkan barangan menyambut lebaran.

Wartawan yang mengunjungi Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Masjid India dan Jalan Raja Laut tergamam seketika menyaksikan orang ramai berpusu-pusu memasuki kawasan itu.

Bukan itu saja, kira-kira 15,000 kenderaan yang keluar dan masuk ke kawasan itu menambahkan kesesakan jalan, namun ia bukan penghalang bagi mereka berkunjung ke kawasan terbabit untuk berbelanja sakan. Pemerhatian turut mendapati dianggarkan 40,000 mengunjungi sekitar kawasan itu dan membeli di pelbagai gerai jualan, deretan bangunan dan kompleks beli-belah termasuk mendapatkan kuih dan pakaian raya, aksesori dan bermacam aneka keperluan barangan.

Akauntan, Nurul Aini Abdul Manap, 21, yang bekerja di Sepang, berkata, dia bertekad mengunjungi kawasan itu lebih awal kerana tidak mahu membeli-belah pada saat-saat akhir.

“Saya merancang datang ke sini mendapatkan keperluan raya sejak minggu lalu. Alhamdulillah, biarpun penat berjalan, saya gembira dapat meluangkan masa seharian membeli-belah,” katanya.

Kata Nurul Aini, dia sanggup datang dari jauh semata-mata mendapatkan barangan murah selain menyaksikan kemeriahan di ibu kota menjelang Aidilfitri.

“Sebelum ini saya sibuk bekerja, tetapi hari ini (semalam) saya puas dapat berjalan-jalan biarpun berpuasa,” katanya.

Kakitangan sumber manusia Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia (KLIA), Siti Bahjah Imam Shafie, 21, berkata, walaupun Wilayah Persekutuan tidak diumumkan cuti umum, namun kawasan itu tetap dibanjiri orang ramai. Menurutnya, bersempena Syawal tahun ini, dia memperuntukkan RM1,000 membeli tiga pasang pakaian, kasut dan tudung raya.-Hmetro
Share this article :

info

JKKK Kampug Paka Dua Telah Menggunakan Sistem Sms Untuk Memberi Maklumat Terkini Secara Terus Ke Telefon Anda.

Join Us

 
Pakadua.Net | Privacy Policy | About
Copyright © 2012. .::Portal Rasmi Paka Dua - All Rights Reserved
Design by Creating Website