PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam melancarkan Tun Razak Exchange (TRX), pusat kewangan perdagangan dan perkhidmatan antarabangsa yang diunjurkan mampu menyediakan 500,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung apabila ia siap sepenuhnya nanti.
Dalam ucaptamanya pada majlis pelancaran itu, beliau berkata, dijangkakan lebih 250 syarikat utama dunia ditempatkan di TRX yang dibangunkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Sebanyak 40,000 akan membabitkan pekerja berpengetahuan mengkhusus dalam bidang perkhidmatan kewangan, sekali gus mencerminkan impian kita bagi Tun Razak Exchange menjadi pusat kepada komuniti perniagaan antarabangsa yang kukuh, cergas dan pelbagai,” katanya.
TRX adalah kawasan peluang pelaburan baru seluas 70 ekar (28 hektar) yang dianggarkan akan menjana nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM26 bilion.
Pusat kewangan itu akan meliputi reka bentuk antarabangsa utama dan prinsip perancangan serta progresif di dunia.
Perdana Menteri berkata, lebih RM3.5 bilion dalam bentuk pelaburan langsung asing (FDI) akan disalurkan di bawah fasa satu pembangunan pusat ekonomi berkenaan.
“TRX sudahpun mempunyai rakan tersedia bagi keseluruhan fasa satu. Rakan antarabangsa ini adalah pihak pertama yang menyumbang idea bagi penubuhan ekosistem kukuh bagi menyokong infrastruktur TRX.
“Terdapat juga pelabur strategik yang akan membawa masuk pelaburan langsung asing lebih RM3.5 bilion. Satu majlis khas akan dilakukan September ini sempena pengumuman pengenalan dan butiran lanjut pihak terbabit,” katanya.
Najib berkata, pusat kewangan itu akan menawarkan pertumbuhan kewangan Islam yang juga sektor mempunyai potensi luas tanpa had.- Hmetro