PENEMUAN batu
yang dipercayai ‘Batu Lagenda’ dekat Kg. Kinarasan, terletak kira-kira 9.5
kilometer dari pekan Ranau, satu lagi daya tarikan orang ramai
terutama para pengunjung dari luar daerah untuk datang ke Ranau.
Selain
Taman Warisan Dunia, ‘Taman Kinabalu’, Taman Kolam Air Panas Poring, Rumah
Panjang Resort Taman Sabah Teh Nalapak, Pusat Tagal Ikan Sungai Moroli
Kg.Luanti Baru disamping keindahan alam semulajadi serta kehijauan dan
kesegaran udara kawasan tanaman sayuran tanah tinggi Kundasang, penemuan ‘Batu
Lagenda’ Kg.Kinarasan sebulan lepas, turut menggamit orang ramai untuk datang
melihat sendiri keunikan batu-batan
berbentuk haiwan, seperti babi, kerbau dan ada menyerupai badan gajah dan
sebagainya.
Batu unik tersebut terletak kira-kira
300 meter dari jalan utama Ranau-Tambunan setengah kilometer dari pusat kampung Kinarasan, di kawasan tanah geran
milik seorang penduduk, Syeah Amran Bin Subin yang telah berusaha menggali atau
mengorek batu itu selepas mendengar satu
cerita (lagenda) daripada salah seorang warga emas dari Kg.Kinarasan.
Menurut Syeah Amran, golongan tua di kampung
itu menceritakan metos atau lagenda yang
berlaku di mana tempat batu itu dijumpai suatu ketika (ratusan tahun) dahulu,
merupakan satu perkampungan, tetapi ditanggalkan selepas melihat bintang
ternakan yang penduduk tambatkan di tiang rumah (bawah kulung rumah) pada suatu
petang telah bertukar menjadi batu pada keesokannya selepas sekumpulan
‘Bobolian’ selesai membaca mentara dalam
satu upacara penyembuhan wabak penyakit melanda penduduk di kawasan berkenaan
ketika itu.
“Kini tidak ramai lagi yang mengetahui cerita
sebenar berhubung lagenda batu ini, kerana mereka yang pernah
menceritakan kepada kami dahulu berhubung lagenda itu, sudah meninggal dunia
akibat sakit tua”, jelas Syeah Amran,
kepada penulis yang turut berkunjung dan merakam gambar kenangan keunikan bentuk Batu Lagenda itu.
Syeah Amran berhasrat menjadikan tempat
itu sebagai satu lokasi tarikan bagi memberi ruang dan peluang kepada orang
ramai sama ada para pengunjung dari dalam atau luar daerah untuk melihat
sendiri keunikan batu itu dan penyediaan kemudahan kepada para pengunjung
kini masih dalam proses penyiapan.
“Kita ada cadangan
menjemput Menteri Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah yang juga ADUN Karanaan, Datuk
Masidi Manjun untuk datang menyaksikan keunikan batu
ini seterusnya dibuka kepada
orang ramai selepas siap semua kemudahan yang perlu”, jelasnya.
Tinjaun
penulis ke tempat itu kelmarin, mendapati
kawasan persekitaran di mana batu itu dijumpai, terletak 100 meter dari jalan raya utama Ranau-Tambunan
mengambil masa kira-kira 5 minit berjalan kaki menuruni cerun bukit melintasi
hutan rimba serta celah-celah rumpun
bambu sebelum sampai ke lokasi batu lagenda
berkenaan. Hutan persekitarannya juga kaya dengan hidupan flora dan fauna.
Syeah
Amran menasihatkan orang ramai yang berhasrat ke lokasi batu itu supaya lebih
berhati-hati dan menjaga keselamatan terutama pada musim hujan kerana keadaan
jalannya yang agak licin.
“Kita
tidak membenarkan para pengunjung mengambil gambar (objek) batu tersebut atas
sebab-sebab tertentu”, tegas Syeah Amran
sambil menasihatkan juga kepada para pengunjung supaya tidak menyentuh batu itu, dan tidak membuat bising
sepanjang berada di kawasan itu, juga atas sebab-sebab tertentu.
Beberapa
pengunjung yang sempat ditemui, menyifatkan batu itu adalah unik dan mereka mendakwa
memang ‘berpenghuni, (berpenunggu), namun tidak mengganggu sesiapa jika
berniat baik untuk berkunjung ke tempat
berkenaan.
Bagaimanapun,
untuk lebih jelas penulis mempelawa orang ramai supaya datang memerhati dan
menyaksikan sendiri keunikan bentuk batu itu.
Siaran Akhbar Utusan Borneo
4/12/2012