BANK Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan untuk mengembangkan perkhidmatan perbankan melangkaui cawangan (3B) di Pulau Pinang dengan melantik 260 ejen menjelang akhir tahun ini berbanding 57 ejen sekarang ini.
Pengarah BSN Pulau Pinang, Mohd Khairil Mohd Nor berkata, bank itu mengenal pasti ejen yang berpotensi dan menunggu alat pendaftar jualan (POS) bagi memulakan perkhidmatan perbankan.
3B adalah konsep perbankan tanpa cawangan BSN yang menawarkan akses kewangan kepada pelanggan, terutama di kawasan yang tidak mempunyai bank. Ia membolehkan pelanggan melakukan transaksi perbankan oleh ejen yang dibenarkan di cawangan runcit.
Beliau berkata, BSN adalah bank pertama dan satu-satunya memperkenalkan perkhidmatan sedemikian yang menyediakan rangkaian perbankan bagi pelanggan yang tidak menerima perkhidmatan bank, terutama di kawasan luar bandar.
“BSN unik kerana kami menampung tanggungjawab sosial korporat dan perniagaan,” katanya selepas majlis berbuka puasa dengan anak yatim, pekerja dan rakan niaga, di Pulau Pinang.
Mengenai tinjauan segmen pinjaman di Pulau Pinang, Mohd Khairil berkata BSN menyasarkan pertumbuhan pinjaman tahunan antara 15 dan 20 peratus yang kebanyakannya dipacu pinjaman peribadi iaitu 60 peratus daripada portfolio pinjaman bank itu. - Bernama