LONDON: James
Bond kembali lagi dengan kisah yang lebih baik, menurut ulasan awal semalam
ketika filem terbaru memaparkan perisik Britain popular itu ditayangkan
semalam.
Pengkritik
akhbar segera menyuarakan komen mereka dan selebriti turut menulis di Twitter
selepas menyaksikan ‘Skyfall’ dengan kebanyakannya berkata, ia adalah filem
terbaik Bond dalam 50 tahun sejarah ejen 007 itu.
Pengkritik
akhbar The Telegraph, Robbie Collin berkata, pengarah Bond, Sam Mendes
setanding dengan Christopher Nolan, pengarah filem ‘Batman: Dark Knight”.
“Mendes tidak
takut memberikan nafas baru kepada detik-detik dramatik agar lebih
berkesan...dan cinematografer, Roger Deakins membuatkan urutan babak aksi lasak
tampil hebat sepanjang 50 tahun karier Bond,” katanya.
Geoffrey
McNab daripada The Independent memberikan empat bintang kepada Skyfall,
mengkritik filem itu kerana ada unsur pengulangan.
Bagaimanapun,
dia memuji Mendes kerana “memperluaskan lagi karakter Bond berbanding dengan
filem terdahulu yang agak cetek”. Skyfall, filem ke-23 dalam francais ejen 007
itu bakal ditayangkan di panggung wayang di Britain pada 26 Oktober dan 9
November di Amerika Syarikat. Ia adalah filem Bond pertama diarahkan Mendes.
Pengarah filem Britain itu memenangi Anugerah Pengarah Terbaik pada 2000 untuk
filem “American Beauty.” - Agensi