PESTA Durian peringkat daerah
Ranau 2012, bukan sahaja berjaya merealisasikan tema pesta itu, “Durian Ranau N0.1”, malah menjadi aset utama
bagi memberi motivasi serta
membantu petani khususnya para pekebun buah-buahan untuk mempromosikan
produk durian berkualiti mereka ke
pasaran global.
Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Bin Manjun berkata,
matlamat menganjurkan Pesta Durian di daerah Ranau, bukan sahaja membantu
mempromosikan buah-buahan segar dan berkualiti tinggi dari daerah itu, malah akan dijadikan satu
produk bagi menarik lebih ramai lgi pengunjung luar untuk datang ke Ranau yang terkenal
dengan destinasi pelancongan istimewa
dikalangan masyarakat antarabangsa.
“Kita
ada Taman Tapak Warisan Dunia, Gunung
Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara, Taman Kolam Air Panas Poring, Resort Ladang Teh Sabah di Nalapak,
Pusat Tagal Sungai Moroli di Luanti Baru, Keindahan Alam Semulajdai dengan
iklimnya yang sejuk nyaman teras serta panorama kawasan kebun sayuran segar
tanah tinggi Kundasang, Acara Larian Antarabangsa Gunung Kinabalu, Sambutan Pesta Kobis, Pesta
Kaamatan, Perarakan Kebudayaan ‘Sunduan Do Nunuk Ragang’ dan hari ini kita
adakan Pesta Durian yang tujuannya antara lain, mempromosi daerah Ranau kepada
masyarakat antarabangsa, mengajak mereka datang melawat di sini”, jelas Masidi.
“Selain
itu ia juga memberi ruang dan peluang kepada para petani untuk mempromosi
produk masing-masing bagi menambah pendapatan keluarga hasil daripada kunjungan
atau lawatan daripada para pelancong luar”, tegasnya.
Berucap
merasmikan Pesta Durian peringkat daerah Ranau berakhir kelmarin, Masidi yang juga ADUN Karanaan,
menyeru para pekebun durian di daerah
itu agar memanfaatkan pesta seumpamanya sebagai salah satu kaedah
mentransformasikan perusahaan perladangan buah-buahan tempatan seperti durian dengan
meghasilkan buah berkualiti tinggi yang bukan sahaja laris dijual di tempat
sendiri malah boleh menembusi pasaran global.
“Kita
berasa bangga kerana daerah kita dikurniakan tanah-tanihnya yang subur sesuai
dengan tanaman bekualiti seperti buah durian cukup beraroma dan wangi berbanding dengan buah
durian di tempat lain’ , tambah Masidi.
Terdahulu,
Pengawai Daerah Ranau, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk penganjur pesta itu,
Haji Faimin Bin Kamin dalam ucapan alu-aluannya, memaklumkan, pesta durian
Ranau kali pertama diadakan ialah pada tahun 2009 tetapi tidak dianjurkan pada tahun 2010 kerana musim
durian jatuh pada bulan Ramadhan,
sementara pada tahun 2011 pesta diadakan serentak dengan Karnival Usahawan Desa
peringkat daerah berkenaan.
“Kita
bersyukur kerana tahun ini, kita berjaya menganjurkannya semula hasil
permuafakatan daripada semua pihak termasuk sokongan serta kerjasama daripada
kerajaan negeri menerusi para pemimpin di daerah ini”, jelas Faimin.
Pelbagai
acara telah diadakan sempena pesta dua hari itu (22-23 Disember) yang antaranya, pertandingan
makan durian sepuashati, pertandingan makan manggis, pertandingan makan durian,
pameran dan jualan buah durian, pertandingan durian berkualiti, pertandingan
gerai durian terbaik, pameran dan jualan anak benih buah-buahan, pameran
teknologi buah durian, pertandingan masakan berasaskan buah durian,
pertandingan karaoke, pertandingan gubahan buah-buahan dan penyampaian anugerah
Tokoh Durian daerah Ranau 2012, sebagai acara kemuncaknya, yang disandang oleh
mantan Menteri Persekutuan, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghani
Gilong, disaksikan ribuan pengunjung dari dalam dan luar daerah Ranau.