Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah |
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, rakyat Malaysia perlu menjadi warga perkasa dan dinamik bagi memastikan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.
“Bukan saja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, malah tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya,” titah baginda pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, semalam.
Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka Baginda kerana ini kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan Duta di sini.
Tuanku Abdul Halim dilantik Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970 ketika berusia 42 tahun dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.
Seri Paduka bertitah, “Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai positif diketepikan penghuninya.” Titah baginda, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan rakyat.
Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat negara bukan saja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 tetapi terus menjadikan negara ini kekal maju dan dihormati dunia.
“Perkukuhkah diri dan pikullah tanggungjawab kita sebagai warga yang benar-benar cintakan tanah air. Sesungguhnya Malaysia adalah hak, lambang maruah dan kedaulatan bersama. Untuk itu, masa depan negara kita haruslah dicorak dan diadun kita semua.
“Kemajuan dari segi kebendaan sahaja belum cukup menjadikan kita satu bangsa yang kuat. Kita perlu menjaga dan mengamalkan ciri hidup masyarakat yang berbudi bahasa.
“Kemajuan fizikal yang diimbangi dengan nilai hidup berbudi bahasa mengangkat tamadun bangsa, menjulang agama dan negara. Beta menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menjaga tatasusila dan ciri hidup ketimuran yang diamalkan selama ini,” titah baginda.
Menyentuh mengenai kepemimpinan negara dan pertabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, baginda bertitah, “Sesungguhnya juga, selepas lebih empat dekad berlalu seperti yang dipertentukan Yang Maha Kuasa, dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan Beta pada kali dahulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat daripada dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.