Headlines News :
Home » , , » Pencapaian Penting Bagi Masyarakat Kadazandusun-Murut

Pencapaian Penting Bagi Masyarakat Kadazandusun-Murut

Written By Admin on Wednesday, 29 August 2012 | 23:54


Pada Ahad, masyarakat Kadazandusun Murut akan menyaksikan satu lagi pencapaian penting apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan majlis pecah tanah bagi Kolej Komuniti Kadazandusun dan Murut (KDM) di Dataran Pisompuruan di sini.

Kolej itu, yang akan ditempatkan di kampung Kaingaran, dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan lagi warisan budaya dan pendidikan masyarakat Kadazandusun-Murut.

Jika diimbas semula, mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran sesiapapun bahawa cadangan institusi pendidikan itu akan menjadi realiti, apalagi tidak sampai setahun selepas idea itu diutarakan.

Semasa pelancaran Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) pada 15 Mei 2011 di Kota Marudu, idea bagi penubuhan kolej itu pertama kali dibangkitkan.

Tetapi sesuatu yang tidak dijangka berlaku, lapan hari kemudian Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga pemimpin agung (Huguan Siou) masyarakat Kadazandusun-Murut, yang telah menimbangkan idea itu dengan serius mengumumkan bahawa kolej masyarakat itu akan dibina di Kaingaran.


IMPIAN JADI KENYATAAN

Juga terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang bersetuju untuk membantu dalam penubuhan kolej itu sementara Kerajaan Persekutuan pula memberikan kelulusan segera.

Daripada mula lagi, penduduk Sabah, termasuk para pemimpin masyarakat Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok, presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup, timbalan presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Eric Mojimbun, para akademik dan pertubuhanpertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan penuh masing-masing kepada kolej berkenaan.

"Apa yang menjadi impian pada satu ketika dahulu kini bertukar menjadi realiti. Ini berita baik bagi penduduk Sabah, khasnya bagi masyarakat Kadazandusun-Murut," kata timbalan presiden Pekadin Nailin Gabintal. Beliau berharap kolej itu akan memulakan pengajian secepat mungkin di premis yang disewa terlebih dahulu di Donggongon sementara menunggu kampus kekal di Tambunan siap. "Jika boleh, buat permulaan kolej itu boleh menumpukan kepada kursus-kursus seperti Sijil/Diploma dalam Eko-Pelancongan, Sijil/Diploma dalam Peruncitan dan Kajian Perniagaan serta Sijil/Diploma dalam Undang-undang Adat," katanya.

Dalam menyambut baik cadangan kolej itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Jannie Lasimbang berharap kolej itu akan dapat menyediakan peluang bagi kanak-kanak pribumi di negeri ini, khasnya mereka yang miskin, untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

NGO SAMBUT BAIK KOLEJ KDM

Kanul Gindol, seorang aktivis NGO dan wartawan, berkata masyarakat Kadazandusun harus menghulurkan sokongan kepada kolej itu dalam apa jua cara yang mungkin.

"Saya berharap mereka yang memulakan kolej ini akan bertindak pragmatik dan kreatif dalam menentukan kursus-kursus yang paling relevan dan pragmatik untuk ditawarkan dalam memastikan pelajar kolej itu akan terus cemerlang walaupun selepas lulus daripada kolej itu," katanya. Kanul, 46, yang pernah berkhidmat dengan Bernama untuk seketika berkata; "biar kolej ini menjadi satu institusi yang memanfaatkan semua pelajar dan negeri".

Beliau berpendapat bahawa kolej itu harus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar selain kursus seperti teologi, muzik dan sehinggakan sains politik harus ditawarkan bagi pelajar matang dan muda.

KOLEJ KDM AKAN MANTAPKAN BUDAYA DAN PENDIDIKAN
MASYARAKAT

Sementara itu, naib presiden PBRS Cyril Yansalang melihat penubuhan kolej itu sebagai tepat pada masa dan antara cara untuk memantapkan budaya dan pendidikan masyarakat Kadazan-Murut.

Beliau berkata, beberapa pihak termasuk Persatuan Kebudayaan Kadzandusun (KDCA) Sabah telah banyak menyumbang terhadap pembangunan budaya dan pendidikan di Sabah.

Cyril, yang berasal dari Tambunan, berkata dalam gambaran yang lebih besar Kolej itu menunjukkan sejauh mana serius kerajaan negeri dan persekutuan dalam merealisasi aspirasi konsep 1Malaysia "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri.

Seorang pensyarah bahasa Kadazandusun di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Henry Bating berkata kolej itu sekurang-kurangnya perlu diberi taraf Kolej-Universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bersama satu fakulti atau akademi khusus bagi kajian Kadazandusun.

"Saya percaya fakulti seperti itu sangat relevan memandangkan tiada fakulti khusus bagi kajian Borneo buat masa kini," katanya.

SANO HARAP KOLEJ KDM DINAIK TARAF KEPADA UNIVERSITI

Presiden Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Anak Negeri Sabah (PANAS) Samson Quintin berkata persatuan memuji Huguan Siou, kesemua rakan seperjuangan di KDCA dan mereka yang telah memberi pandangan dan galakkan bagi kolej itu.

"Pendidikan adalah kunci kejayaan dan sangat penting bagi masyarakat itu meningkatkan status mereka dan membasmi buta huruf," katanya. Beliau berharap kolej itu akan dinaiktaraf kepada universiti pada masa depan.

"Ini tempatnya bagi masyarakat untuk memperbaiki kedudukan mereka, memandangkan mereka ketinggalan dalam bidang pengurusan, kejuruteraan, keusahawanan dan ekonomi," katanya.

Samson juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khasnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dengan iklas menunaikan hasrat masyarakat Kadazandusun-Murut.

Secara ringkas, Kolej Komuniti KDM adalah satu pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan kepada masyarakat Kadazandusun-Murut di samping satu pencapaian penting dalam kemajuan mereka. BERNAMA
Share this article :

info

JKKK Kampug Paka Dua Telah Menggunakan Sistem Sms Untuk Memberi Maklumat Terkini Secara Terus Ke Telefon Anda.

Join Us

 
Pakadua.Net | Privacy Policy | About
Copyright © 2012. .::Portal Rasmi Paka Dua - All Rights Reserved
Design by Creating Website