JUMLAH dagangan Malaysia pada Mei meningkat 11.1 peratus kepada RM112.95 bilion, disokong terutama pertumbuhan eksport yang meningkat 6.7 peratus kepada RM58.78 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataannya berkata, peningkatan dagangan disokong secara besar-besaran dengan Singapura (21.1 peratus), China (19.9 peratus) dan India (34 peratus).
Import pula meningkat 16.2 peratus kepada RM54.17 bilion pada Mei, katanya menerusi siaran media mengenai perangkaan perdagangan luar Malaysia antara Januari dan Mei.
Berdasarkan perangkaan bulanan, eksport dan import bagi bulan itu berkembang 1.8 peratus dan 7.9 peratus, menyebabkan lebihan dagangan 4.6 peratus dan kebanyakan sektor produk mencatat peningkatan eksport pada Mei.
Eksport barangan perkilangan meningkat 4.2 peratus kepada RM39.74 bilion pada Mei manakala eksport barangan perlombongan naik RM11.13 bilion, namun barangan pertanian menguncup 4.6 peratus kepada RM7.44 bilion.
Manakala eksport barangan elektrik dan elektronik pula meningkat 1.1 peratus, disokong terutama oleh eksport yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat, Thailand dan Vietnam.
Pada Mei, eksport utama produk ialah minyak sawit bernilai RM5.3 bilion, gas asli cecair (RM4.38 bilion), kimia dan barangan kimia (RM3.89 bilion) dan produk petroleum bertapis (RM3.68 bilion). Tahun ke tahun, eksport ke negara Asean pada Mei bernilai RM16.09 bilion, menyumbang 27.4 peratus kepada jumlah eksport Malaysia.
Eksport ke Jepun dan Amerika Syarikat masing-masing meningkat kepada RM6.74 bilion dan RM5.14 bilion. Bagaimanapun, eksport ke 27 negara anggota Kesatuan Eropah, menguncup 3.2 peratus kepada RM5.44 bilion ekoran eksport yang lebih rendah ke Perancis, Belgium, Sweden dan Republik Czech.
Sementara itu, jumlah import Mei meningkat 16.2 peratus kepada RM54.17 bilion berbanding Mei tahun lalu. Import barangan pengantara bernilai RM33.8 bilion atau 62.4 peratus daripada jumlah import, barangan modal sebanyak RM8.87 bilion (16.4 peratus) dan barangan penggunaan RM3.8 bilion (7.0 peratus).
Jumlah dagangan sepanjang lima bulan pertama tahun ini pula bernilai RM538.58 bilion, meningkat 6.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. - Sumber