Oleh
Shahrizan Salian
Pesawat
dijangka mampu tingkat jumlah penumpang
PENERBANGAN
Malaysia (MAS), memulakan era baru perkhidmatannya dengan menjadikan pesawat
penumpang terbesar dunia, A380 sebagai tarikan utama mengukuhkan jumlah
penumpangnya.
Pesawat itu
dibawa pulang semula ke Malaysia semalam selepas menjalani kemasan terakhir di
kilang Airbus di Toulouse, dengan warna serta hiasan korporat MAS yang baru
menjelang penerbangan sulungnya ke London, esok.
Bersandarkan
tempahan awal yang diterima, faktor muatan bagi pesawat A380 adalah 10 peratus
lebih tinggi daripada yang dicatatkan penerbangan serupa yang menggunakan
pesawat Boeing 747. - Ahmad Jauhari Yahya, Ketua Eksekutif Kumpulan MAS
Ketua
Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya, berkata sambutan memberangsangkan
yang diterima untuk penerbangan dua minggu pertama A380 memberikan isyarat
sangat positif kepada syarikat penerbangan kebangsaan itu.
Katanya,
bersandarkan tempahan awal yang diterima, faktor muatan bagi pesawat A380
adalah 10 peratus lebih tinggi daripada yang dicatatkan penerbangan serupa yang
menggunakan pesawat Boeing 747.
“Faktor
muatan A380 untuk penerbangan dua minggu pertama ini ternyata sudah melebihi
jangkaan kami.
“Pesawat baru
ini menyediakan daya tarikan yang besar dan ini sudah dibuktikan oleh syarikat
penerbangan lain yang turut menggunakan A380.
“Kami mahu
meraih faktor muatan setinggi mana yang mungkin, namun pada masa sama apa yang
lebih penting adalah bagaimana MAS dapat menetapkan harga yang berdaya saing,”
katanya pada sidang media menyambut ketibaan pesawat A380 itu di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.
Ketibaan
rombongan disertai 91 tetamu dan kakitangan MAS, termasuk Ahmad Jauhari
disambut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Pesawat yang
diterbangkan Kapten Norshid Ali itu tiba di KLIA kira-kira jam 10 pagi selepas
membuat penerbangan terus 12 jam dari Toulouse.
Ia akan
membuat penerbangan sulungnya, MH2 dari KLIA ke London malam esok dan
penerbangan sulung MH3 dari London ke KLIA keesokannya.
Pada majlis
semalam, MAS turut melancarkan Lounge Kelas Pertama dan Perniagaan
Antarabangsanya yang baru dinaikkan taraf.
MAS adalah
syarikat penerbangan kelapan dunia yang menggunakan pesawat A380, yang
dianggarkan bernilai AS$390 juta (RM1.2 bilion) setiap unit.
Syarikat
penerbangan kebangsaan itu akan menerima lima lagi pesawat jenis itu sehingga
Mac tahun depan.
Ahmad Jauhari
berkata, MAS akan membuat keputusan berhubung destinasi serta tempoh kekerapan
penerbangan bagi lima lagi pesawat itu pada suku ketiga ini.
“Kami sudah
menghantar kertas cadangan, termasuk kepada Lapangan Terbang Narita di Jepun,
dan lapangan terbang di China. MAS dijadualkan akan membuat pengumuman pada
akhir suku ketiga ini,” katanya.
Pesawat A380
yang pertama itu dikhususkan untuk penerbangan ke London dengan kekerapan tiga
kali seminggu.
Sementara
itu, pesawat kedua yang dijadualkan tiba bulan depan akan membuat penerbangan
harian ke London, dengan penerbangan sulungnya dijangka pada 25 Ogos ini.
Ahmad Jauhari
berkata, ketibaan pesawat baru yang merendahkan usia angkatan pesawat MAS itu
juga memberi isyarat bermulanya tahap produk dan pengalaman baru kepada
penumpangnya.
“Ini
sebahagian inisiatif pembaharuan angkatan pesawat untuk menurunkan purata usia
pesawat kami, yang kemudian akan menghasilkan pengurangan kos dengan ketara,”
katanya.